Communicable disease

Kenyataan Media KPK 6 Disember 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 48 (27 November – 3 Disember 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI  48 TAHUN 2022

(27 NOVEMBER – 3 DISEMBER 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 22.1 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-48 tahun 2022 (ME 48/2022) berbanding ME 47/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME 48/2022 berbanding ME 47/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 24.6 peratus; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, menurun sebanyak 23.5 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 48/2022 berbanding ME 47/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal menurun sebanyak 3 peratus; dan
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal sama, tiada perubahan.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) kekal sama, tiada perubahan (Rajah 4) pada ME 48/2022 berbanding ME 47/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan penurunan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 47/2022 dan ME 48/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 17.9 peratus;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 29.3 peratus; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 37.0 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.

Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menunjukkan penurunan sebanyak 44.7 peratus pada akhir ME 48/2022 berbanding ME 47/2022; iaitu dari 28,052 kepada 15,512 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 6 peratus (1,002 kes) (Rajah 6).

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 3 Disember 2022 (ME 48/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,998,830;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,939,388 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,710 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,156 kluster (kluster aktif: 58 kluster).

Perbandingan antara ME 47/2022 dan ME 48/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 48/2022 menurun sebanyak1.6 peratus (18,699 kes kepada 18,405 kes) (Rajah 7);
  • Bilangan kes baharu pada ME 48/2022 menurun sebanyak 21.8 peratus (18,606 kes kepada 14,558 kes) (Rajah 8);
    • Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 21.7 peratus (18,581 kes kepada 14,543 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 40.0 peratus (25 kes kepada 15 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 48/2022 meningkat sebanyak12.7 peratus (55 kes kepada 62 kes); dan
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 47/2022 menurun sebanyak 5.9 peratus (26,622 kes kepada 25,062 kes) (Rajah 9).

NILAI RT

Nilai RT pada ME 48/2022 adalah 0.93 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 48/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 151 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 20.5 peratus pada ME 48/2022 (Rajah 11); dan
  • Sebanyak 5.6 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 48/2022 (Rajah 12).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 Disember 2022 @ 11.30 pagi