Communicable disease

Kenyataan Media KPK 27 Disember 2022 – Pemantauan Rapi Perkembangan Kejadian Jangkitan COVID-19 oleh KKM Bagi Memastikan Langkah Pencegahan Dan Kawalan Yang Sewajarnya Dilaksanakan Secara Berkesan

PEMANTAUAN RAPI PERKEMBANGAN KEJADIAN JANGKITAN COVID-19 OLEH KKM BAGI MEMASTIKAN LANGKAH PENCEGAHAN DAN KAWALAN YANG SEWAJARNYA DILAKSANAKAN SECARA BERKESAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Disember 2022. Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus tidak menafikan bahawa pada awal tahun 2022, gelombang yang terjadi akibat varian Omicron telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes dan kematian yang mendadak. Namun berdasarkan data COVID-19 semasa yang dilaporkan kepada WHO, mendapati secara keseluruhannya tren kejadian pandemik ini telah berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara seluruh dunia. Mereka juga yakin bahawa kini situasi tersebut adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sungguhpun begitu, dalam sidang media yang sama, pihak WHO juga turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa yang dilaporkan berlaku di negara China, yang melibatkan peningkatan mendadak kes COVID-19. Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China sekitar awal Disember 2022 lalu untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik COVID-19 mereka yang ketat.

Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula pada 1 April 2022 semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Sempadan negara telah dibuka kepada pelancong dari luar negara serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain telah dipertingkatkan. Justeru, dengan mengambilkira negara Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes COVID-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian COVID-19 seperti yang pernah dialami semasa variant Delta melanda seluruh dunia termasuk negara Malaysia. Di antara langkah-langkah yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

  1. Meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian. KKM menggesa agar semua individu yang layak, tampil untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19.
  2. Mengukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan. Perkara ini dilaksanakan dengan menambah baik pengurusan COVID-19 melalui pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan. Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera – selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan segera dikemaskini dalam MySejahtera pengguna. Kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order; HSO) dan juga Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order; RO) secara digital dan tidak perlu hadir secara fizikal di Pejabat Kesihatan Daerah mahupun COVID-19 Assessment Centre (CAC), melainkan jika perlu menjalani pemeriksaan lanjut setelah mengisi Home Assessment Tool (HAT) di dalam aplikasi MySejahtera.
  3. Memastikan semua CAC yang beroperasi secara fizikal (iaitu di Klinik Kesihatan dan di komuniti) mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan/ panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19. Fungsi CAC meliputi perkara-perkara berikut iaitu:
    • mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah;
    • menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan;
    • memulakan rawatan Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi dan memenuhi kriteria yang ditetapkan;
    • mengenal pasti dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk ke  hospital; dan
    • menjalankan penilaian dan pelepasan (release order) kepada kes positif yang telah tamat tempoh pengasingan – bagi individu yang tidak menerima digital HSO.
  4. Memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) ke dalam COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April 2022 dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM. Ubat ini merupakan ubat antiviral oral pertama di Malaysia untuk merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana, atau pun kategori 2 dan kategori 3. Keutamaan pemberian rawatan Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi. Seterusnya, bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit, rawatan ini telah juga diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta dikenal pasti bermula 20 Jun 2022. Pemberian ubat ini kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma. Namun, pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan lain-lain caj berkaitan yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.
  5. Memantau rapi penularan jangkitan COVID-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara. Ia turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh (whole genome sequencing, WGS) bagi mengesan varian baharu serta aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara.
  6. Menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun 2022 di semua peringkat. Inisiatif ini antara lain bertujuan untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatanmerangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan  norma baharu iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka.

ANMS turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudaya hidup sihat. MyCHAMPION atau Malaysian Health Community Agent merupakan satu platform kolaborasi merentasi pelbagai kementerian, organisasi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai rakan strategik untuk memainkan peranan membantu KKM dalam inisiatif dan aktiviti promosi kesihatan di peringkat komuniti serta sebagai penggerak dan penyokong (advocator). Keperluan penyelarasan sukarelawan dan agen kesihatan amat penting bagi membolehkan inisiatif ini dilaksanakan secara bersepadu dan terancang.

KKM menasihatkan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain. Disarankan agar sentiasa mengamalkan TRIIS. Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai.  Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

27 Disember 2022 @ 10:00 pagi