Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada sebuah laporan berita dalam media massa bertarikh 27 Disember 2022 yang melaporkan kes pertama jangkitan Naegleria Fowleri di Korea Selatan. Sebagai makluman, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) telah mengesahkan bahawa seorang lelaki warga Korea Selatan yang berusia lingkungan 50-an meninggal dunia pada 21 Disember 2022 selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri. Lelaki tersebut dilaporkan telah menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember 2022 yang lalu.
Naegleri Fowleri merupakan ameba termofilik atau dikenali juga sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya di dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta juga dalam tanah. Walau bagaimanapun, ia tidak ditemui dalam air masin seperti di lautan.
Ameba Naegleri Fowleri tersebut juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang. Ianya berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar. Namun, sehingga kini tiada bukti jangkitan boleh merebak melalui wap air atau titisan aerosol.
Ameba Naegleri Fowleri ini boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM), yang seterusnya boleh membawa maut. Pada peringkat awal, gejala PAM menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah. Gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher (neck stiffness), kekeliruan (confusion), kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling (lack of attention to people and surrounding), sawan, halusinasi, dan koma juga boleh berlaku.
Kebiasaannya, gejala-gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan boleh muncul seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti. Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala.
Penyakit ini didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri di dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti. Manakala, rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan. Namun, rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku sangat cepat.
Sehingga kini, KKM mendapati bahawa tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri ini dilaporkan berlaku di Malaysia. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati dan mengambil langkah-langkah sewajarnya ketika melakukan aktiviti berkaitan air tawar seperti berikut;
- Elakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ;
- Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air yang mungkin dicemari oleh ameba boleh memasuki rongga hidung secara terus;
- Mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air; dan
- Segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti di dalam air.
KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan yang terbaharu tentang penyakit tersebut.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
28 Disember 2022
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.