SAMBUTAN HARI PENYAKIT TROPIKA TERABAI DUNIA 2023
Setiap tahun, pada 30 Januari, dunia menyambut Hari Penyakit Tropika Terabai (Neglected Tropical Diseases – NTD). Pada tahun ini, tema sambutan adalah “Bertindak sekarang. Bertindak bersama. Melabur dalam Penyakit Tropika Terabai.”
Tema ini dipilih untuk mendapatkan perhatian global bagi merawat dan mengawal NTD, selepas perkhidmatan kesihatan mengalami cabaran semasa pandemik COVID-19. Perkara ini bagi meneruskan usaha menamatkan NTD serta menyeru semua pihak untuk bertindak mengesan kes NTD melalui survelan, merawat kes dengan memastikan ketersediaan ubat-ubatan serta melindungi populasi yang rentan, sama ada melalui penambahbaikan persekitaran mereka mahupun memberi ubat profilaksis bagi mengelakkan gejala atau komplikasi penyakit.
Terdapat 21 jenis penyakit di bawah kategori NTD. Penyakit ini dibahagikan kepada tujuh (7) kategori iaitu jangkitan bakteria, jangkitan virus, jangkitan kulat (fungus), infestasi ektoparasit, patukan ular, penyakit bawaan vektor dan infestasi cacing (helmint). Salah satu NTD yang penting di Malaysia adalah filariasis limfatik, penyakit di bawah kategori penyakit bawaan vektor.
Malaysia telah melancarkan Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan (PEFLK) pada tahun 2002. Pelaksanaan program ini melibatkan 127 mukim endemik filariasis di lapan (8) buah negeri iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Objektif pertama program ini adalah agar filariasis limfatik tidak lagi menjadi masalah kesihatan awam di Malaysia. Sasaran yang ditetapkan adalah menurunkan kadar prevalen individu positif antibodi filariasis kepada kurang daripada 2%, atau kurang daripada dua orang bagi setiap 100 penduduk di kawasan endemik yang disaring. Objektif kedua adalah memastikan pesakit yang mengalami komplikasi limfatik filariasis seperti untut (kaki gajah) didaftar dan diberi rawatan sewajarnya bagi meringankan morbiditi dan disabiliti.
Melalui Program Eliminasi Limfatik Filariasis Kebangsaan ini, pemberian ubat berskala besar atau mass drug administration (MDA) kepada penduduk di kawasan endemik telah dilaksanakan. Mereka diberi makan ubatan anti-filaria seperti ivermectin, diethylcarbamazine (DEC) dan albendazole. Pada masa yang sama, pengesanan kes secara aktif melalui pengesanan kehadiran antibodi filariasis dijalankan di kawasan endemik dan setiap individu yang dikesan positif diberi rawatan anti-filaria. Program juga telah melaksanakan gerakan mengesan dan mendaftar pesakit filariasis yang mengalami komplikasi untut (kaki gajah) dan seterusnya memberi rawatan simptomatik bagi meringankan morbiditi dan disabiliti yang dialami.
Pada awal pelaksanaan Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mensasarkan Malaysia akan mencapai status eliminasi filariasis limfatik menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, sasaran tersebut tidak tercapai dan telah dipinda kepada eliminasi menjelang tahun 2025. Sasaran ini selaras dengan penetapan dalam Global Programme to Eliminate Lymphatic Filariasis (GPELF) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pada tahun 2022, Malaysia telah berjaya mencapai sasaran kadar prevalen antibodi filariasis kurang daripada dua peratus (2%) di 125 (98.4%) mukim endemik. Namun masih terdapat tiga (3) mukim di Sarawak dan dua (2) mukim di Sabah belum berjaya mencapai prevalen antibodi filariasis kurang dari 2%. Kes positif antibodi filariasis juga masih dikesan terutamanya di mukim-mukim ini, hasil aktiviti saringan aktif; iaitu 231 kes pada tahun 2020 dan masing-masing 269 kes pada tahun 2021 dan 2022. Bagi pesakit yang mengalami komplikasi untut, sebanyak 76 kes telah didaftarkan, namun tiada kes baharu untut didaftar sejak tahun 2004.
Filariasis limfatik atau penyakit untut masih menjadi masalah kesihatan awam global. Anggaran 120 juta penduduk di 72 buah negara dijangkiti dengan penyakit ini. Dua pertiga (2/3) pengidap penyakit ini berada di India dan Afrika; dengan selebihnya dilaporkan di Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Amerika. Penyebab filariasis limfatik adalah cacing filaria yang disebarkan oleh nyamuk Mansonia spp., Culex spp. dan Anopheles spp. yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama cacing filaria kepada individu sihat lain. Spesis cacing filaria yang terdapat di Malaysia ialah Brugia malayi. Cacing filaria dewasa hidup antara enam (6) hingga lapan (8) tahun dalam sistem saluran limfatik, menyebabkan kerosakan terutamanya pada bahagian kaki dan tangan, mengakibatkan untut (kaki gajah) dan hydrocele (pembengkakan skrotum). Filaria dewasa menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang hidup dalam peredaran darah manusia dan ditularkan kepada individu lain melalui gigitan nyamuk.
Bagi memastikan Malaysia mencapai status eliminasi filariasis limfatik menjelang tahun 2025, KKM menyeru ahli masyarakat yang tinggal di kawasan endemik filariasis agar memberi kerjasama dengan menjalani ujian saringan darah sekiranya diarahkan, serta memakan ubat anti-filaria yang diberi oleh petugas kesihatan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
30 Januari 2023
Categories: Communicable disease, Press