Dental

Kenyataan Media Yang Dipertua Majlis Pergigian Malaysia 14 Februari 2023 – Standard Latihan Pergigian Bagi Pendaftaran Doktor Pergigian Di Bawah Akta Pergigian 2018

STANDARD LATIHAN PERGIGIAN BAGI PENDAFTARAN DOKTOR PERGIGIAN DI BAWAH AKTA PERGIGIAN 2018

Selaras dengan seksyen 29 (2) (a) Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2022, seseorang warganegara Malaysia yang lulus pengajian daripada luar negara boleh memohon kepada Pendaftar Pergigian untuk didaftarkan sebagai doktor pergigian sekiranya latihan pergigian dan peperiksaan di institusi latihan pergigian yang berkenaan mencapai standard yang dinyatakan oleh Majlis.

Sehubungan itu, Majlis Pergigian Malaysia (MPM) semasa Mesyuarat Keempat di bawah Akta Pergigian 2018 pada 2 Ogos 2022 telah menetapkan standard tersebut seperti di Lampiran 1. Mengambil kira persediaan ke luar negara yang sedang berjalan, MPM bersetuju agar standard berhubung syarat keperluan minimum ke luar negara adalah terpakai bagi kursus pengajian yang akan bermula 1 Julai 2023 dan seterusnya.

Selaras dengan seksyen 29 (2) (c) pula, semua graduan daripada luar negara yang ingin mendaftar dengan MPM selepas 31 Disember 2026 juga dikehendaki menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional sekiranya kelayakan daripada luar negara tersebut memenuhi standard yang ditetapkan oleh MPM. Keperluan menduduki Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi graduan daripada luar negara yang ingin mendaftar dengan MPM sebelum 1 Januari 2027 adalah masih tertakluk kepada senarai ijazah yang tidak diiktiraf sebelum ini di bawah Akta Pergigian 1971.

Standard yang ditetapkan oleh Majlis dan syarat keperluan minimum boleh diakses melalui laman web MPM di https://mdc.moh.gov.my/ di bawah pautan Registration.

Oleh yang demikian, mereka yang berminat untuk menceburi profesion sebagai doktor pergigian dan semua pihak yang berkepentingan dimohon untuk sentiasa peka dengan menyemak syarat-syarat dan keperluan terkini melalui laman web rasmi MPM. Sebarang persoalan boleh dikemukakan melalui e-mel kepada mdc@moh.gov.my.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

YANG DIPERTUA

MAJLIS PERGIGIAN MALAYSIA

14 Februari 2023

Categories: Dental

Tagged as: