SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT COVID-19 DI MALAYSIA BAGI MINGGU EPIDEMIOLOGI KE – 11 / 2023
(12 MAC 2023 – 18 MAC 2023)
1.0 STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Berikut adalah perbandingan status penggunaan fasiliti kesihatan mengikut minggu epidemiologi (Rajah 1):
1.1 Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit yang disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 7.1 peratus pada ME 11/2023 berbanding ME 10/2023;
1.2 Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 11/2023 berbanding ME 10/2023 adalah seperti berikut;
- Pesakit kategori 1 dan 2, meningkat sebanyak 20.0 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 20.0 peratus.
1.3 Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 11/2023 berbanding ME 10/2023 adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal, meningkat sebanyak 2.0 peratus;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat sebanyak 1.0 peratus; dan
- Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus.
2.0 STATUS TERKINI KES COVID-19
2.1 Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 18 Mac 2023 (ME 11/2023), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 5,047,040;
- Kumulatif kes sembuh: 5,000,457 kes;
- Purata kes aktif : 9,481 kes;
- Kumulatif kes kematian: 36,972 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,173 kluster (kluster aktif: 2 kluster).
2.2 Perbandingan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 antara ME 10/2023 dan ME 11/2023 (Rajah 2):
- Bilangan kes baharu meningkat sebanyak 18.0 peratus (1,566 kes kepada 1,848 kes);
- Bilangan kes sembuh menurun sebanyak13.7 peratus (1,423 kes kepada 1,228 kes); dan
- Bilangan kes kematian meningkat sebanyak 150.0 peratus (2 kes kepada 5 kes).
3.0 SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
- KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 11/2023, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Sebanyak 22 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 3.68 peratus pada ME 11/2023 (Rajah 3); dan
- Sebanyak 3.13 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 11/2023 (Rajah 4).
4.0 SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK
Bulan Ramadan bakal tiba dan umat Islam akan menjalani ibadah puasa dalam masa terdekat ini. Hampir setahun Malaysia berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik setelah empat tahun bergelut dengan COVID-19 di mana pembukaan sektor ekonomi dan kelonggaran aktiviti-aktiviti sosial termasuk pembukaan sempadan antarabangsa negara telah dilaksanakan.
Aktiviti-aktiviti kebiasaan umat Islam dalam bulan Ramadan seperti solat tarawikh di masjid, perhimpunan majlis ilmu, dan majlis berbuka puasa telah dibolehkan sebagaimana sebelum pandemik. Begitu juga dengan aktiviti jual beli di bazar Ramadan akan berlaku seperti biasa. Walaupun begitu, kita perlu terus beringat bahawa virus SARS-CoV-2 dan virus lain seperti Influenza masih berada di sekitar kita. Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga, dan masyarakat.
Antara langkah-langkah kesihatan awam yang boleh dijalankan adalah seperti berikut:
- Pemakaian pelitup muka digalakkan sekiranya bergejala terutama di kawasan ramai orang dan sesak. Golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, ibu mengandung, mempunyai komorbid, rendah imuniti badan, dan kanak-kanak digalakkan memakai pelitup muka;
- Sentiasa berwaspada dan elakkan berada di kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat;
- Kerap mencuci tangan terutamanya selepas bersalaman atau membawa sanitasi tangan;
- Amalkan etika batuk dan bersin dengan betul;
- Digalakkan membawa sejadah sendiri dan pakaian solat bagi jemaah wanita untuk ke masjid;
- Individu yang bergejala, digalakkan mengamalkan penilaian risiko kendiri (TRIIS) dan elakkan berada di kawasan beribadat awam, tempat awam lain seperti bazar Ramadhan atau majlis perhimpunan; dan
- Individu positif COVID-19 adalah dilarang menghadiri aktiviti sosial dan segera dapatkan rawatan jika gejala bertambah teruk.
Amalan pemakanan sihat yang pelbagai dan seimbang di bulan Ramadan juga adalah amat penting dalam membantu memastikan kesihatan yang optima selain meningkatkan sistem pertahanan badan melawan penyakit terutamanya jangkitan COVID-19. Pengambilan kalori secara berlebihan dan tidak aktif boleh meningkatkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes, kanser, dan penyakit jantung.
Antara amalan – amalan pemakanan secara sihat yang boleh diambil adalah seperti berikut:
- Bersederhana dan elakkan makan secara berlebihan mengikut nafsu. Amalkan konsep ‘Suku Suku Separuh’ serta pastikan sayur dan buah turut ada dalam setiap hidangan bagi membekalkan vitamin dan mineral yang dapat membantu menyokong sistem imuniti badan;
- Utamakan makanan yang disediakan di rumah kerana penggunaan minyak, gula, dan garam dapat dikawal semasa memasak. Pelbagaikan kaedah masakan yang lebih sihat seperti bakar, panggang, kukus, dan rebus;
- Pastikan minum air kosong secukupnya iaitu lapan (8) gelas atau dua (2) liter sehari dari waktu berbuka hingga waktu sahur di samping mengurangkan pengambilan minuman manis yang lain;
- Sentiasa peka terhadap pemilihan makanan yang sihat dan selamat dari kejadian keracunan makanan; dan
- Jadilah individu yang bijak dan mengutamakan kesihatan, kebersihan, keselamatan, dan kualiti makanan sebelum menikmati juadah berbuka puasa.
Justeru, setiap individu harus memainkan peranan penting dalam memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti. KKM ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak 1444 H dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga Ramadan kali ini dapat dijalani dengan penuh bimbingan taufik, kesungguhan, kesabaran, keikhlasan dalam beramal, dan mendapat keberkatan dari yang Maha Esa.
Lindung diri. Lindung keluarga. Lindung masyarakat.
Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan.
5.0 NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Malaysia masih berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Walaupun demikian, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan berikut iaitu;
- Amalkan 3W;
- Elakkan 3S;
- Digalakkan memakai pelitup muka sekiranya bergejala terutama di kawasan ramai orang dan sesak. Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan semasa di fasiliti kesihatan dan semasa menaiki kenderaan awam (kecuali dalam kapalterbang);
- Kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka;
- Terus amalkan TRIIS (TEST, REPORT, INFORM, ISOLATE & SEEK). Lakukan ujian pengesanan COVID-19 sekiranya bergejala, laporkan keputusan ujian dan lakukan penilaian kesihatan kendiri dalam aplikasi MySejahtera serta dapatkan rawatan awal di CAC atau Klinik Kesihatan berhampiran sekiranya daripada golongan berisiko tinggi atau gejala bertambah teruk;
- Sekiranya berlaku kecemasan, individu positif COVID-19 dinasihatkan untuk ke Klinik Kesihatan atau hospital terdekat bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut;
- Kumpulan berisiko tinggi yang mempunyai imuniti rendah disarankan untuk mendapat rawatan awal dan ubat antiviral Paxlovid sekiranya positif COVID-19 dan bergejala untuk mengelakkan daripada komplikasi penyakit yang serius; dan
- Individu yang belum menerima dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftarkan diri dan mendapatkan vaksin untuk mengekalkan status imuniti dan mencegah daripada jangkitan COVID-19 termasuk varian baharu.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO dan pihak berkuasa negara-negara serantau. Selain itu, KKM sentiasa memastikan agar langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
21 Mac 2023 @ 12.00 tengah hari
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press
You must be logged in to post a comment.