Food

Kenyataan Media KPK 22 Mac 2023 – Nasihat Keselamatan Makanan Sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak

NASIHAT KESELAMATAN MAKANAN SEMPENA

BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Bersempena dengan bulan Ramadan, penjualan juadah makanan di bazar ramadan dan pelbagai premis makanan sememangnya menjadi aktiviti yang sangat dinanti-nanti oleh semua peringkat masyarakat di negara ini. Ramai yang akan berkunjung ke bazar ramadan dan premis-premis makanan di seluruh negara untuk membeli pelbagai jenis juadah makanan.

Bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual sepanjang bulan Ramadan adalah selaras dengan keperluan di dalam Akta Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan juga semasa bulan Ramadan. Sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi aktiviti pemeriksaan telah giat dijalankan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan juga, aktiviti pemeriksaan telah dijalankan di premis-premis tumpuan seperti di hotel-hotel yang menyediakan buffet ramadan, di premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais. Kerjasama dengan PBT turut diadakan dengan mengadakan taklimat-taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar-bazar ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan. Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial.

Pada bulan Ramadan kali ini, KKM akan meneruskan Operasi Ramadan 2023 serentak di seluruh negara di semua premis-premis makanan termasuk bazar ramadan yang beroperasi di seluruh negara dengan berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Operasi Ramadan 2023. Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan. Matlamatnya adalah untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan juga peraturan-peraturan di bawahnya. Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak PBT masing-masing.

Sepanjang Ramadan ini, KKM ingin menasihatkan masyarakat agar mengamalkan konsep “Sama-sama: Perhati dan Pilih Juadah di Bazar Ramadan”. Pastikan anda memilih gerai yang bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik. Para peniaga juga dinasihatkan supaya membasuh terlebih dahulu bahan mentah termasuk telur sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi untuk basi secara terlalu awal daripada waktu untuk dijual (contohnya makanan berasaskan santan dan sebagainya).

Orang ramai juga dinasihatkan agar menggunakan kuasa membeli yang ada pada mereka dengan membeli makanan di premis yang bersih. KKM  sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan adalah terkawal.

Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my jika terdapat sebarang aduan berkaitan keselamatan makanan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Mac 2023

Categories: Food, Food Safety, Press

Tagged as: