ISU MOGOK SEKTOR KESIHATAN DAN KEPENTINGAN PERKHIDMATAN KESIHATAN
1. Untuk makluman, buat masa ini Kementerian Kesihatan hanya menerima hebahan mengenai mogok ini melalui saluran media sosial sahaja. Kementerian ini tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok tersebut. Penganjuran mogok secara amnya boleh menyebabkan sesuatu perkhidmatan terjejas selama mana ianya dianjurkan. Lazimnya ia dianjurkan untuk menyampai mesej tertentu kepada pihak-pihak berkaitan. Namun perkara ini perlu ditimbang dengan teliti. Ini memandangkan perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan yang kritikal, terutama kerana ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat. Maka saya berpandangan mogok terutama secara tidak terancang, mungkin bukan suatu jalan penyelesaian yang terbaik terhadap apa jua permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.
2. Perkhidmatan Kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor yang kritikal dan begitu juga bagi petugas kesihatan. Ini disebabkan oleh kompleksiti sektor ini, serta cabaran, risiko dan jerih perih yang perlu dihadapi oleh anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka. Umum diketahui bahawa sebahagian besarnya adalah di bawah Sektor Awam, dan Perkhidmatan Kesihatan merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada kemakmuran serta pertumbuhan ekonomi negara. Tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan. Jelas kesihatan adalah salah satu daripada hak asasi manusia, dan Perkhidmatan Kesihatan perlu terus diutamakan.

3. Pandemik COVID-19 telah mengajar kita bahawa tanpa sistem kesihatan yang berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak tersebut dengan baik dan orang ramai tidak mungkin dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa. Kemakmuran yang kita kecapi kini sudah tentu banyak disumbangkan oleh pakar dan anggota kesihatan di pelbagai peringkat sama ada di sektor pencegahan atau kesihatan awam mahupun yang bertugas di sektor klinikal dan penyelidikan. Masing-masing mereka mempunyai peranan yang sangat penting. Berkat pengorbanan yang dilakukan oleh anggota kesihatan sebelum ini, rakyat dapat menjalankan pekerjaan mereka semula, kita dapat berkumpul beramai-ramai bersama keluarga dan kenalan, Ramadan dapat disambut seperti biasa, kegembiraan perayaan dapat dirasai dan pelbagai lagi. Perkhidmatan Kesihatan seharusnya perlu terus berdaya tahan kerana cabaran akan datang termasuk risiko krisis atau pandemik mungkin lebih hebat dan kompleks daripada apa yang kita lalui sebelum ini. Justeru, petugas kesihatan yang merupakan aset utama Perkhidmatan Kesihatan perlu terus diberi perhatian yang sewajarnya, termasuk imbuhan yang sewajarnya buat perkhidmatan mereka.
4. Kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respon atau bertindak terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan. Antaranya mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya. Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik. Saya percaya, Kerajaan dari semasa ke semasa akan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.
5. Alhamdulillah, Perkhidmatan Kesihatan dilihat terus diberi keutamaan yang sewajarnya oleh pihak Kerajaan sebagaimana yang dapat kita perhatikan melalui Belanjawan 2023: Membangun Malaysia MADANI. Semoga Perkhidmatan Kesihatan dapat terus diperkukuhkan lagi dalam tahun mendatang.
6. Namun begitu, saya ingin menekankan sekali lagi bahawa mogok bukan suatu jalan penyelesaian terbaik dan permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara yang lebih berhemah.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
29 Mac 2023
Categories: Medical profession, Press
You must be logged in to post a comment.