Press

Kenyataan Media Bersama KKM dan ISN 3 April 2023 – Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Institut Sukan Negara Malaysia

MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DAN INSTITUT SUKAN NEGARA MALAYSIA

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia telah berlangsung pada pagi ini dan disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham bin Abdullah selaku Ketua Pengarah Kesihatan, Malaysia dan YBrs. Encik Ahmad Faedzal Bin Md. Ramli selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara. Pemeteraian kerjasama antara KKM dan ISN ini diharapkan agar menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kepakaran perubatan sukan negara setaraf dengan kepakaran di luar negara.

Walaupun sebelum ini KKM dan ISN telah menjalankan beberapa kerjasama secara langsung dan tidak langsung, memorandum persefahaman ini dijangka akan memperkasakan kerjasama kedua-dua pihak dalam aspek perkhidmatan, latihan, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang perubatan sukan negara. Melalui memorandum persefahaman ini, ianya akan memacu usaha negara untuk meningkatkan dan mengekalkan tahap kesihatan masyarakat serta merubah landskap kesihatan negara dari 'sick care' kepada 'health care'. Pemerkasaan kepakaran perubatan sukan ini juga secara langsung dan tidak langsung mampu mengurangkan kos rawatan perubatan penyakit tidak berjangkit dan berjangkit seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan produktiviti negara serta meningkatkan kemajuan sukan negara.

Antara salah satu aspek kerjasama yang akan ditumpukan ialah perkhidmatan klinikal sains sukan dan rujukan para pelanggan yang dikenal pasti di antara KKM dan ISN berdasarkan kesesuaian lokaliti, fasiliti dan keberadaan pakar perubatan sukan semasa. Ini termasuk mengukuhkan penglibatan dan peranan ISN dan KKM sebagai sumber rujukan utama dalam bidang perubatan sukan dalam apa-apa aktiviti, acara, pertandingan atau kejohanan sukan yang diadakan. Kerjasama ini juga diharapkan agar dapat meningkatkan kemahiran dan pengalaman para pakar perubatan sukan, mengurangkan kos rawatan melalui perkongsian peralatan perubatan dan teknologi serta memudahkan rujukan pesakit yang memerlukan perkhidmatan bidang kepakaran perubatan dan sains sukan tertentu.

Sementara itu, aspek latihan dengan program latihan berstruktur dan terselia juga akan dibangunkan melalui perjanjian persefahaman ini dan akan disesuaikan dalam bidang perubatan dan sains sukan kepada kakitangan kedua-dua belah pihak. Sebagai contohnya, penganjuran konferensi di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan profesional perubatan tempatan atau antarabangsa dan pertukaran kakitangan untuk menjalani latihan sangkutan di antara institusi. KKM dan ISN juga akan bertindak sebagai pusat rujukan dan latihan kepakaran perubatan sukan utama dengan sub-kepakaran khusus dalam negara.

Menerusi kerjasama penyelidikan dan penerbitan, kedua-dua pihak akan mempergiatkan perkongsian kepakaran penyelidikan bagi tujuan pembangunan perubatan dan sains sukan. Ini meliputi apa-apa penyelidikan dalam bidang perubatan dan sains sukan, akses kepada data, kepentingan dalam hak-hak harta intelek dan penerbitan hasil kajian atau pembentangan di peringkat antarabangsa dengan persetujuan bersama.

Pemeteraian kerjasama antara KKM dan ISN ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kepakaran perubatan sukan negara serta merubah landskap kesihatan negara dari 'sick care' kepada 'health care'. Dengan pengukuhan perubatan sukan di negara ini, diharapkan agar lebih ramai rakyat akan terlibat dalam aktiviti sukan dan fizikal dengan kerap dan konsisten, membudayakan amalan hidup sihat dan seterusnya merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

INSTITUT SUKAN NEGARA

3 April 2023

Categories: Press