KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT COVID-19
DI MALAYSIA BAGI MINGGU EPIDEMIOLOGI KE – 13 / 2023
(26 MAC – 1 APRIL 2023)
1.0 STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Berikut adalah perbandingan status penggunaan fasiliti kesihatan mengikut minggu epidemiologi (Rajah 1):
1.1 Secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit yang disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023;
1.2 Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 adalah seperti berikut;
- Pesakit kategori 1 dan 2, meningkat sebanyak 80.0 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 33.3 peratus.
1.3 Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal, meningkat sebanyak 1.0 peratus;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), tiada perubahan, kekal dengan 3.0 peratus; dan
- Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus.
2.0 STATUS TERKINI KES COVID-19
2.1 Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 1 April 2023 (ME 13/2023), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 5,052,337 kes;
- Kumulatif kes sembuh: 5,004,546 kes;
- Purata kes aktif : 10,324 kes;
- Kumulatif kes kematian: 36,984 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,183 kluster (kluster aktif: 11 kluster).
2.2 Perbandingan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 antara ME 12/2023 dan ME 13/2023 (Rajah 2):
- Bilangan kes baharu meningkat sebanyak 37.7 peratus (2,228 kes kepada 3,069 kes);
- Bilangan kes sembuh meningkat sebanyak 23.3 peratus (1,831 kes kepada 2,258 kes); dan
- Bilangan kes kematian menurun sebanyak 28.6 peratus (7 kes kepada 5 kes).

3.0 SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
- KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 13/2023, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Sebanyak 56 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 8.51 peratus pada ME 13/2023 (Rajah 3); dan
- Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 13/2023 (Rajah 4).

4.0 PENINGKATAN KLUSTER COVID-19
Dari ME 1/2023 hingga ME 13/2023, terdapat sejumlah 18 kluster telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, 11 merupakan kluster pendidikan, lima (5) kluster kumpulan berisiko, dan dua (2) kluster pusat tahanan (Rajah 5).
Berdasarkan kluster yang dilaporkan, didapati terdapat peningkatan mendadak kluster pendidikan pada ME 13/2023. Daripada 11 kluster pendidikan yang dilaporkan, enam (6) kluster melibatkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu tiga (3) kolej dan masing-masing satu (1) sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh, dan sekolah menengah, manakala lima (5) lagi kluster merupakan kluster pendidikan lain iaitu empat (4) maktab dan satu (1) taska.
Peningkatan kes dan kluster COVID-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan bulan Mac 2023. Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah yang lalu.
KKM ingin memberi penekanan kepada Sektor Pendidikan:
- Kepentingan menjalani saringan bergejala terhadap pelajar, guru, dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah/ institusi;
- Menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian COVID-19;
- Memperkasa ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala; dan
- Menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa, agar tindakan pencegahan dapat segera diambil.
KKM juga ingin mengingatkan Pegawai Kesihatan Daerah agar kes positif yang dilaporkan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan disiasat dan dijalankan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan. Selain itu, tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan di samping pelaksanaan aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19.
Di samping itu, bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat, orang ramai disarankan supaya terus mengamalkan TRIIS iaitu;
- Test (Uji). Segera lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya mengalami gejala jangkitan seperti hidung berair, demam atau batuk;
- Report (Lapor). Laporkan keputusan ujian pengesanan kendiri secepat mungkin di aplikasi MySejahtera;
- Isolate (Asing). Lakukan pengasingan kendiri dengan segera dan berdisiplin sekiranya anda positif COVID-19. Patuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah serta tatacara isolasi kendiri;
- Inform (Maklum). Maklumkan kepada semua kontak rapat dengan segera supaya mereka memantau status kesihatan kendiri dan melakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala; dan
- Seek (Mendapatkan rawatan). Dapatkan rawatan segera sekiranya gejala bertambah teruk. Bagi golongan berisiko tinggi juga dinasihatkan ke fasiliti kesihatan berhampiran agar dapat dibuat penilaian kesihatan dan kesesuaian pengambilan rawatan antiviral.
Selain itu, bagi memantapkan pengurusan kluster, individu yang layak disarankan untuk segera mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19. Bagi individu yang berumur lima (5) tahun sehingga tujuh belas (17) tahun pula, boleh mendapatkan dos penggalak pertama. Manakala, bagi mereka yang berumur lapan belas (18) tahun dan ke atas, boleh mendapatkan dos penggalak kedua. Ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.
5.0 NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Malaysia masih berada dalam Fasa Peralihan susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Walaupun demikian, KKM ingin menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi saranan berikut iaitu;
- Amalkan 3W;
- Elakkan 3S;
- Digalakkan memakai pelitup muka sekiranya bergejala terutama di kawasan ramai orang dan sesak. Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan semasa di fasiliti kesihatan dan semasa menaiki kenderaan awam (kecuali dalam kapalterbang);
- Kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka;
- Terus amalkan TRIIS (TEST, REPORT, INFORM, ISOLATE & SEEK). Lakukan ujian pengesanan COVID-19 sekiranya bergejala, laporkan keputusan ujian dan lakukan penilaian kesihatan kendiri dalam aplikasi MySejahtera serta dapatkan rawatan awal di CAC atau Klinik Kesihatan berhampiran sekiranya daripada golongan berisiko tinggi atau gejala bertambah teruk;
- Sekiranya berlaku kecemasan, individu positif COVID-19 dinasihatkan untuk ke Klinik Kesihatan atau hospital terdekat bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut;
- Kumpulan berisiko tinggi yang mempunyai imuniti rendah disarankan untuk mendapat rawatan awal dan ubat antiviral Paxlovid sekiranya positif COVID-19 dan bergejala untuk mengelakkan daripada komplikasi penyakit yang serius; dan
- Individu yang belum menerima dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftarkan diri dan mendapatkan vaksin untuk mengekalkan status imuniti dan mencegah daripada jangkitan COVID-19 termasuk varian baharu.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO dan pihak berkuasa negara-negara serantau. Selain itu, KKM sentiasa memastikan agar langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
4 April 2023 @ 2.00 petang
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press, vaccine, WHO
You must be logged in to post a comment.