KEPUTUSAN MESYUARAT PIHAK BERKUASA KAWALAN DADAH KALI KE-383 BERKENAAN PRODUK RAWATAN COVID-19 EVUSHELD
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-383 yang telah bersidang pada 6 April 2023, bersetuju memberikan kelulusan tambahan indikasi untuk rawatan COVID-19 bagi kegunaan golongan dewasa dan remaja berumur 12 tahun ke atas dengan berat sekurang-kurangnya 40kg serta meningkatkan dos produk untuk kegunaan pencegahan prapendedahan (pre-exposure prophylaxis) kepada produk berdaftar berikut:
Evusheld 100 mg/mL Solution For Injection (MAL22056042ACRZ) (Tixagevimab 100 mg/mL and Cilgavimab 100 mg/mL)
- Pemegang Pendaftaran: Astrazeneca Sdn. Bhd.
- Pengilang: Astrazeneca AB, Sweden
- Indikasi:
- Pencegahan Prapendedahan
- Evusheld digunakan untuk pesakit dewasa dan remaja (berusia 12 tahun ke atas dengan berat badan sekurang-kurangnya 40kg) sebagai pencegahan prapendedahan kepada jangkitan COVID-19, dan
- Individu yang berkemungkinan tidak memperolehi tindak balas imun yang mencukupi terhadap vaksinasi COVID-19; atau individu yang tidak disyorkan vaksinasi COVID-19.
- Rawatan
- Evusheld digunakan untuk merawat pesakit COVID-19 dewasa dan remaja (berusia 12 tahun ke atas dengan berat badan sekurang-kurangnya 40kg), yang tidak memerlukan bantuan oksigen dan mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID 19 yang lebih teruk.
- Pencegahan Prapendedahan
Penggunaan produk Evusheld ini adalah berdasarkan garis panduan klinikal yang dikeluarkan oleh KKM.
Sebelum ini PBKD telah bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk Evusheld 100 mg/mL Solution For Injection (MAL22056042ACRZ) (Tixagevimab 100 mg/mL and Cilgavimab 100 mg/mL)pada Mesyuarat PBKD ke-372. Adalah dimaklumkan bahawa status pendaftaran bersyarat tersebut masih kekal dan kelulusan baharu ini adalah khusus untuk tambahan indikasi bagi rawatan COVID-19.
KKM akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat Malaysia kepada ubat–ubatan bagi tujuan rawatan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ianya dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
7 April 2023
You must be logged in to post a comment.