Organ Transplant

Kenyataan Media KPK 7 April 2023 – Pendirian KKM Terhadap Dakwaan Jual Beli Organ

PENDIRIAN KKM TERHADAP DAKWAAN JUAL BELI ORGAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menekankan bahawa sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan exploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan. Sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak. Jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.

Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini. Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram.

Untuk makluman, perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi melibatkan pendermaan organ daripada penderma hidup ataupun penderma selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ samada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru. Dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).

Selain itu, Malaysia juga telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008). Deklarasi ini menyatakan bahawa organ untuk transplantasi haruslah diagihkan secara saksama kepada penerima yang sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama, mahupun status sosial atau kewangan. Seterusnya, deklarasi ini juga menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan. Oleh itu, sebarang amalan yang menyasarkan individu atau golongan ini sebagai penderma organ adalah dilihat sebagai menggalakkan pemerdagangan organ, transplant tourism dan komersialisasi transplan.

Bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, KKM telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ di kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma-penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan (unrelated) ataupun melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara. Jawatankuasa ini akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosio-ekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik, serta kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan. Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan. Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika. Dalam perkara ini, pihak KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ dan transplantasi, Kementerian akan terus bekerjasama dengan badan-badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam serta pendidikan ke arah pendermaan organ yang beretika. KKM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa cakna dan berikrar sebagai penderma organ seterusnya memaklumkan hasrat sebagai pengikrar kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi yang beretika di negara ini. Kementerian amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan mengenai pendermaan organ dan transplantasi kepada Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) yang merupakan satu organisasi yang telah diwujudkan untuk memberikan informasi berhubung pendermaan organ dan transplantasi di Malaysia. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada PSTN di talian 1800-88-9080 atau emel kepada ntrc@moh.gov.my .

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

7 April 2023

Categories: Organ Transplant, Press

Tagged as: