Press

Kenyataan Akhbar KPK 6 Januari 2020 - Maklumbalas Aktiviti Penguatkuasaan Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok di Seluruh Malaysia Bagi Tempoh 1 Januari Hingga 5 Januari 2020

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan penguatkuasaan larangan merokok di Tempat Makan bermula 1 Januari 2020 di seluruh negara.  Sepanjang aktiviti  penguatkuasaan selama  lima (5) hari iaitu bagi tempoh 1 Januari 2020  hingga  5 Januari 2020 sebanyak  29,903 buah premis tempat makan telah diperiksa. Secara keseluruhan  2,312 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM 554,400.00. Daripada 2,312 notis kesalahan tersebut, 1,702 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 iaitu kesalahan merokok di tempat makan, 400 notis kesalahan di bawah Peraturan 12 (1) (a) iaitu  Tuan Punya Premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 92 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu Tuan Punya Premis menyediakan kemudahan merokok. Pihak KKM juga telah mengeluarkan sejumlah 118  notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1)  iaitu Larangan mengenai merokok dan sebagainya kepada golongan Orang Belum Dewasa (di bawah umur 18 tahun).

Sepanjang penguatkuasaan dalam tempoh tersebut, jumlah notis kesalahan yang telah dikeluarkan oleh Pegawai Penguatkuasa telah berkurang daripada 708 notis kesalahan pada hari pertama kepada  393 notis kesalahan pada hari kedua dan seterusnya kepada 366 notis kesalahan pada hari ketiga. Walaubagaimanapun, jumlah tersebut telah meningkat pada hujung minggu Sabtu (4 Januari 2020) dan Ahad ( 5 Januari 2020) iaitu masing-masing sebanyak  404  dan 441 notis kesalahan.

Tips berhenti merokok

Secara rumusan, penguatkuasaan yang telah dijalankan selama lima  (5) hari ini telah menunjukkan penurunan kepada keseluruhan notis kesalahan yang dikeluarkan. Namun pihak KKM masih menerima aduan kesalahan merokok yang melibatkan 1,039 tempat makan melalui talian hotline 010-860 8949 semenjak penguatkuasaan penuh dijalankan. Kesemua aduan yang telah diterima sedang dalam tindakan pegawai penguatkuasa dan pihak KKM mengucapkan ribuan terima kasih atas keperihatinan dan kerjasama masyarakat dalam memastikan larangan merokok ini dipatuhi. Kerjasama yang telah diberikan oleh semua Tuan Punya Premis juga sangat memberangsangkan dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan.

Pihak KKM juga ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat  tabiat merokok kepada golongan perokok serta golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling. Pihak KKM akan sentiasa membantu golongan perokok untuk berhenti merokok. Pendaftaran ke perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400.

“KE ARAH GENERASI BEBAS DARIPADA SEBARANG BENTUK AMALAN MEROKOK”

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 JANUARI 2020

Categories: Press