Press

Kenyataan Akhbar KPK 17 November 2020 - Pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-kanak Susulan Pertukaran kepada Vaksin Enam Serangkai Difteria - Tetanus - Pertussis - Polio - Hepatitis B - Haemophilus Influenza Type B (Hib)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-Kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.

Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi lima serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) yang ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak. Pertukaran pelaksanaan akan dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.

Latar belakang

Vaksin kombinasi lima serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) telah mula digunakan sejak tahun 2008 di lapan (8) buah negeri dan diperluaskan ke seluruh negara pada tahun 2010. Vaksin tersebut diberikan bagi mencegah penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis dan jangkitan Haemophilus influenzae type b. Ia diberi sebanyak tiga (3) dos primer pada umur 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan serta satu (1) dos penggalak (booster) pada umur 18 bulan.

Vaksin Hepatitis B monovalent pula telah diberikan untuk mencegah penyakit Hepatitis B sejak tahun 1989. Ia diberikan sebanyak tiga (3) dos semasa lahir, pada umur 1 bulan dan 6 bulan.

Manfaat pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai

Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.

Sebanyak empat (4) dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua (2) bulan, tiga (3) bulan, lima (5) bulan dan 18 bulan.

Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan. Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur 1 bulan dan 6 bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

Jadual imunisasi baru adalah seperti di Lampiran A.

Ini bermakna, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b, dan Hepatitis B dapat dikurangkan dari tujuh (7) suntikan kepada hanya lima (5) suntikan susulan pertukaran vaksin ini. Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibubapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Vaksin enam serangkai adalah selamat dan berkesan

Pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan, sehingga 20 Oktober 2020, terdapat 49 buah negara telah bertukar kepada vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

Vaksin enam serangkai DTaP-IPV-HepB-Hib adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Seperti vaksin-vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunization, AEFI) vaksin tersebut dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Sejak ia digunakan oleh fasiliti kesihatan swasta di Malaysia, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.

Walaupun vaksin enam serangkai telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2013 dan telah terbukti selamat, namun ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di fasiliti kesihatan KKM. Maka, KKM akan menjalankan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas setiap dos suntikan. Bagi tujuan ini, ibubapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan, seperti merah di tempat suntikan. Selain itu, ibubapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

Nasihat kepada ibubapa

Ibubapa perlu memastikan anak-anak mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan. Sekiranya anak-anak tercicir sebarang imunisasi, sila bawa anak ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan untuk penjadualan semula imunisasi. Berdasarkan jadual baru ini, walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada umur 1 bulan dan 6 bulan seperti sebelum ini, ibubapa perlu juga mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk kanak-kanak berumur 1 bulan dan 6 bulan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang dietapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0 – 6 tahun).

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai ini, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4042/03-8883 4504 pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang, atau dapatkan penjelasan lanjut di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

17 November 2020

Categories: Press